

Hai.. ni cerita dari pengalaman rakan ku yang merupakan seorang pendaki gunung di serata ceruk gunung di Negeri Terengganu Darul Iman yang tercinta...
================================================================================
Ekspedisi 3 dalam 1.
Mejejakkan kaki ke Gunung Berembun, Air Terjun Chemerong dan Air Terjun Lasir memang telah menjadi impian saya sejak dulu lagi. Kami bertolak dari Kuala Lumpur pada jam 11 malam menuju ke Hulu Dungun dengan menaiki 3 buah kereta. Saya Asrul Effendi beserta 11 peserta lain terlibat dalam ekspedisi ini iaitu Jebat, Mahadzir, Roslan, Abang Ajip, Abang Zul, Syed Amir, Rosley, Zulkifli, Razmi, dan dua orang peserta yang telah bersara iaitu Wak Mas dan Abang Razak. Pada jam 5 pagi kami tiba di Bandar
Al-Mukhafi Billa Shah dan berhenti rehat di sebuah surau di situ sementara menunggu azan subuh. Setelah menunaikan solat kami melelapkan mata buat seketika.
Pada jam 7 pagi kami mula bergerak ke Kampung Pasir Raja mencari kedai makan untuk bersarapan. Setelah selesai bersarapan kami ke Balai Polis Kuala Jengai bagi memaklumkan tentang ekspedisi kami. Sejauh 4 Kilometer dari Hutan Simpan Air Terjun Chemerong itu sudah kelihatan air terjunnya seolah-olah memanggil kami untuk mendaki kepuncaknya. Kami tiba di kawasan Air Terjun Chemerong pada jam 9 pagi. Di sini kami
mula mengemas barang - barang ke dalam beg sandang masing - masing. Tidak lama kemudian juru pandu kami iaitu saudara Fadli dan Mie tiba. Turut bersama mereka
iaitu Gee dan Adik.

Setelah semua bersiap sedia kami mula menapak melalui air terjun, cuaca yang cerah dan damai pada pagi itu seolah - olah mengalu- alukan ekspedisi kami kali ini. Perjalanan kami dalam 30 minit pertama agak mudah kerana kami hanya menyusuri laluan tepi Sungai Chemerong yang agak landai. Kami berhenti di satu tempat dan meletakkan beg galas masing-masing kerana kami akan menuju ke kaki Air Terjun Chemerong. Disini kami dapat melihat dengan jelas kaki air terjun yang sememangnya tinggi iaitu 305 meter dari aras laut. Ketika itu hujan turun dengan lebat dan keadaan ini menyukarkan
kami untuk merakam gambar kenangan di air terjun tersebut. Selepas 10 minit berada disitu hujan yang turun mulai perlahan dan memberi peluang kepada kami untuk merakamkan gambar kenangan disitu.
Setelah puas bergambar kami berpatah balik ke tempat kami meletakkan beg dan meneruskan perjalanan. Kami mula melintas sungai melalui jalan pintas yang agak mencanak. Pemandu arah iaitu saudara Mie menjaga keselamatan peserta - perserta ketika melintasi sungai yang berarus deras itu. 30 minit mendaki denai jalan pintas memang memenatkan dengan kecerunan 70 darjah. Peserta yang berada di hadapan menunggu dengan sabar sehingga peserta yang paling belakang tiba. Kami meneruskan perjalanan dan mula mendaki ke puncak Air Terjun Chemerong. Masa yang diperlukan untuk mendaki ke puncak tersebut ialah selama 2 jam. Saya dan Razmi adalah antara yang terawal sampai di persimpangan puncak Air Terjun Chemerong dan Kem Balak, kami berehat seketika sementara menunggu rakan yang lain tiba.Setelah semua tiba kami meneruskan perjalanan menuju Kem Balak. Kami berhenti rehat untuk makan tengahari di Kem Balak pada pukul 2 petang. Di sini terdapat banyak kolam untuk kami berenang. Ikan - ikan air deras seperti ikan sia dan ikan daun juga banyak kedapatan di sini.
Setelah bersolat dan makan tengahari kami bergerak ke kem Y dimana akan berkhemah dan bermalam disitu. Seawal jam 5 petang kami sudah sampai di kem Y . Kami mengelak untuk bermalam di kem Balak kerana bimbangkan 'kepala Air' yang kerap melanda tempat itu pada waku hujan. Hujan renyai - renyai dan kadangkala sedikit lebat turun kira - kira jam 6 petang sehinggalah jam 12 malam. Agak sukar bagi kami memasak makanan
untuk makan malam ketika itu. Walaupun begitu ada diantara kami menggunakan kesempatan pada malam hari untuk memancing. Hanya berumpankan roti sahaja beberapa
ekor ikan sia dan ikan daun dapat dipancing.

Subuh keesokan hari kami mula bangun menunaikan solat dan memasak untuk bersarapan. Cuaca cerah pagi ini memudahkan kami bersiap untuk meneruskan pendakian ke puncak Gunung Berembun. Kami memulakan pendakian pada pukul 10 pagi. Laluan yang mendatar tidak menyukarkan kami untuk bergerak menyusuri sungai Chemerong yang mengalir jernih dan bersih, sejuk mata yang memandang. Selepas dua jam mendaki kami sampai di puncak Berembun Kecil. Di puncak ini mula terdapat pokok corong atap atau lebih dikenali
sebagai pokok bonsai. Di sini juga terdapat pokok mata ayam yang mana buahnya lebih besar berbandig buah mata ayam di kampung kampung. Dipercayai ia dapat mengubati penyakit barah.

Kami meneruskan pendakian menuju ke Puncak Gunung Berembun dan setengah jam kemudian kami sampai ke tempat yang dituju. Kami tiba di situ pada jam 1 tengahari. Hujan tiba - tiba turun, kami terpaksa memasang flysheet untuk dijadikan tempat berteduh. Menu kami pada tengahari ini nasi putih berlaukkan gulai ikan masin, telur goreng di tambah teh o panas betul-betul menyelerakan ditambah pula keadaan kami yang sedang kelaparan.
Kami berada di situ kira - kira 1 jam setengah dan apabila hujan semakin reda kami mula bergerak ke Air Terjun Lasir. Laluan ke sana agak curam dan tanahnya licin memaksa kami berhati - hati untuk menapak. Apabila kami tiba di Sungai Lasir kami menyusuri turun sungai itu secara menyeberanginya berselang seli beberapa kali. Disebabkan selepas hujan, air sungai mengalir agak deras dan kedalamamnya naik mendadak hingga ke paras pinggang. Tidak lama kemudian kami sampai ke tempat air terjun yang cantik iaitu permulaan Air Terjun Lasir atau lebih dikenali sebagai Lesung Batu. Di sini terdapat satu kolam yang sesuai untuk mandi - manda dan tiga lubang air yang dipanggil tempayan kerana bentuknya seolah - olah tempayan.
Kami meneruskan perjalanan dan 10 minit kemudian kami sampai di tapak perkhemahan air Terjun Lasir. Saya tidak menyangka ketika berada pada ketinggian 1021 meter dari aras laut masih terdapat air terjun yang agak lebar yang mana ia tidak terdapat pada mana - mana gunung gred A iaitu gunung yang berketinggian 7000 kaki ke atas yang pernah saya jejaki sebelum ini. Di tapak perkhemahan ini pemandangan begitu cantik dan jauh
dihadapan sana kelihatan sebuah bukit yang dipanggil Bukit Kelih. Kami mula memasang khemah bagi tujuan bermalam di situ. Petang ini kami membasahkan tekak dengan teh o panas dan buah nanas bercicahkan garam. Walaupun malam belum tiba cuaca sudah mulai sejuk. Selepas itu kami mula turun ke air terjun membersihkan badan. Airnya begitu jernih dan nyaman, namun kerana kesejukkan kami tidak berendam lama di situ.
Sesudah makan malam kami mengadakan sessi beramah mesra bersama juru pandu. Juru pandu ada bercerita dan berkongsi pengalamannya tentang laluan yang pernah dibuka. Menurut beliau laluan ke Puncak Gunung Berembun mula di terokai pada tahun 1996 ketika Program Rakan Muda mencari gunung angkat.Oleh yang demikian gunung ini telah menjadi gunung angkat Rakan Muda Rakan Rekreasi. Menurut juru pandu, pada masa itu Persatuan Mendaki Terengganu (PMT) yang dipengerusikan oleh Encik Ismail bin
Abdullah telah memilih Gunung Berembun dan Gunung Tebu sebagai Gunung Angkat dan beliaulah yang mengepalai ekspedisi membuka laluan ke Gunung Berembun ini. Manakala laluan ke puncak air Terjun Lasir mula diteroka 2 tahun lepas. Juru pandu turut berkongsi cerita betapa sukarnya pegalaman mereka membuka laluan ke Puncak Gunung Berembun dan Air Terjun Lasir pada ketika itu. Laluan lain yang dibuka oleh juru pandu ialah Gunung Mandi Angin, Gunung Gelemak dan Gunung Ulu Perus. Pada jam 11 malam kami mula merehatkan badan dan tidur.
Keesokan harinya kira - kira jam 6.30 pagi saya tersedar dari tidur tatkala terdengar bacaan Surah Yassin yang dibaca oleh Wak Mas. Saya terus bangun dan menunaikan solat subuh. Cuaca pada hari itu begitu baik dan kami tidak melepaskan peluang untuk merakamkan gambar matahari terbit yang memukau pandangan. Dari puncak Air Terjun Lasir juga dapat dilihat pemandangan indah Banjaran Pantai Timur yang diselaputi awan yang berarak perlahan. Selesai bersarapan kami mula berkemas dan mulai turun. Laluan yang kami lalui pada hari ketiga merupakan laluan lain, bukan laluan semalam yang
mana pada laluan kali ini kami melintasi Sungai Bangang. Disini terdapat satu-satunya spesis pokok periuk kera yang bersifat tidak parasitik iaitu mendapat nutrien daripada bahan organik mati/reput seperti cebisan daun kering iaitu spesis Nepenthes ampullaria. Setelah berjalan kira - kira 2 jam kami mula mendaki Gunung Chemerong dan
hanya melalui lerengnya sahaja untuk sampai ke destinasi seterusnya iaitu pertengahan jalan antara Kem Balak dan Kem Y. Kami berehat seketika di Kem Balak dan mula
bergerak turun mengikut laluan mendaki pada hari pertama. Saya tiba pada jam 3 petang
dan peserta yang terakhir tiba pada jam 5 petang. Setelah semua sampai kami membersihkan badan dan menunaikan solat sebelum berkemas untuk pulang ke Kuala Lumpur. Kami bertolak pada jam 6 petang dan sampai di Kuala Lumpur pada jam 1 pagi.
Kesimpulannya pendakian kali ini memang menyeronokkan dan memberikan kepuasan kerana tempatnya yang cantik dan menarik,selain dapat menjejaki 2 air terjun yang besar
dan satu gunung dalam satu ekspedisi. Dengan jadual perjalanan selama 3 hari membuatkan ekspedisi ini agak santai dan membolehkan kami menikmati keindahan alam sepuasnya. Saya berpendapat Gunung Berembun, Air Terjun Chemerong dan Air Terjun Lasir ini kurang menjadi tumpuan pendaki-pendaki kerana tiada pengangkutan awam ke sana, ditambah pula tempatnya yang agak terpencil iaitu kira - kira 42 km dari jalan Jerangau - Jabor. Sesiapa yang berminat untuk mendaki gunung ini bolehlah menghubungi juru pandu iaitu saudara Fadli di talian 019-9213734.
slipper orchid

Nama Pengarang: Asrul Effendi bin Abidin
No comments:
Post a Comment